KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Hakim K.Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan Najib, 72, supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilepas tanpa dibebaskan.
Sebelum ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahannya memohon supaya Najib dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan itu.
Muhammad Shafee memaklumkan DNAA adalah paling terbaik untuk diberikan kepada anak guamnya buat masa ini, dengan mengambil kira faktor garis masa yang tidak pasti bila perbicaraan kes itu akan bermula.
Beliau berkata, pertuduhan terhadap Najib telah dibuat pada tahun 2019 di mana ia sudah mengambil masa selama enam tahun, manakala representasi pula telah dikemukakan pada 31 Julai 2023.
Pada 3 Februari 2019, Najib, didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – Kosmo