Mahkamah dan Jenayah Negara

Polis nafi MB Terengganu dalam senarai individu berisiko

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tiada keperluan untuk meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, dakwaan Ahmad Samsuri bahawa dirinya diletakkan di bawah status individu dianggap berisiko oleh pihak tertentu walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, istilah kawalan perjalanan ‘TCO’ yang digunakan Ahmad Samsuri dalam posting dimuat naik di Facebook miliknya juga tidak tepat kerana ia (TCO) pegawai kawalan perjalanan sebenarnya merupakan jawatan pegawai polis yang bertugas di pintu keluar masuk negara.



“Beliau (Ahmad Samsuri) bukanlah seorang penjenayah yang perlu diletakkan dalam SPK bagi individu (penjenayah) berisiko atau dikehendaki yang perlu ditahan di dalam atau luar negara.

AHMAD SAMSURI MOKHTAR

“Malah, jawatannya sebagai seorang menteri besar yang turut memerlukan perlindungan serta kawalan keselamatan pegawai pengiring yang terdiri daripada pihak polis sendiri maka secara tidak langsung semua pergerakannya diketahui.

“Oleh itu, tiada keperluan untuk pihak polis meletakkan beliau di bawah senarai SPK,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Menurutnya, setiap orang kenamaan (VIP) yang melalui pintu masuk negara akan menggunakan laluan khas selain diiringi pegawai ditugaskan. 


“Selain itu, ia perkara biasa sebagai seorang menteri besar yang ingin ke luar negara ditanya soalan-soalan berkaitan kerana bagi memudahkan pihak polis melakukan kawalan keselamatan di tempat dituju,” ujarnya. 

Semalam, Ahmad Samsuri melalui hantaran di media sosial mendakwa dirinya dilabel sebagai ‘TCO’ dalam sistem kawalan sempadan seolah-olah digambarkan sebagai seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket atau persona non grata.

Beliau mendakwa turut  ‘ditahan’ atau satu panggilan akan dibuat bagi mendapatkan persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak 2024.

“Dalam sistem keselamatan negara, ‘TCO’ merujuk kepada penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah. 


“Status ini membolehkan segala pergerakan, komunikasi, dan interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap dan berterusan,” dakwanya. – Utusan

Related Posts