Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN – Seorang lelaki berusia 42 tahun ditemui meninggal dunia di dalam semak Kampung Batu 16, Tebak, Air Putih disini hari ini.
Menurut sumber, mangsa yang memakai baju berwarna biru gelap dan seluar panjang warna hitam ditemui terlentang di tempat kebiasaan beliau mencari kerbau.
Berdasarkan maklumat, katanya, mangsa keluar rumah pada pukul 7.00 pagi semalam dan tidak pulang.
“Pada pukul 6.00 petang rakan mangsa telah menjumpai motosikal mangsa didalam semak namun mangsa tiada ditempat berkenaan.
“Rakan mangsa telah memaklumkan kepada adik mangsa berkemungkinan abangnya telah hilang.
“Usaha mencari mangsa dilakukan oleh rakannya hari ini dan menemui mayat mangsa pukul 3.00 petang,” katanya di sini, hari ini.
Tambah sumber itu, pemeriksaan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Air Putih mengesahkan mangsa meninggal dunia ditempat kejadian.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes masih dalam siasatan.
Jelasnya, setakat ini masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – Suara Timur