Mahkamah dan Jenayah Negara

Ahmad Zahid anggap Samsuri raih simpati isu TCO

KUANTAN: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa dilabel dan ditanda sebagai individu di bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa sebagai langkah meraih simpati.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia berikutan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Mungkin dia memohon simpati sebab PRK Ayer Kuning (Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning).

“Menteri Dalam Negeri mengatakan tak ada, kenapa perkara ini perlu,” katanya kepada media selepas melancarkan Akademi Rel Pahang (ARP) di Dewan Yayasan Pahang di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Semalam, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS, mendakwa situasi itu berlaku sejak pertengahan tahun lalu.

Beliau dilaporkan berkata, dalam sistem keselamatan negara, TCO merujuk kepada ‘Travel Control Order’ oleh pihak berkuasa iaitu satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.

Dalam kenyataan susulan, Saifuddin dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk mana-mana pihak mengintip pergerakan Menteri Besar Terengganu itu kerana Ahmad Samsuri sentiasa didampingi anggota polis atas kapasiti sebagai Menteri Besar. – Berita Harian

Related Posts