Negara

11 stesen minyak di Kelantan disiasat

KOTA BHARU: Sebanyak 11 stesen minyak di Kelantan disiasat selepas disyaki melanggar syarat lesen pengendalian dan arahan pengawal bekalan kerana melakukan penjualan petrol berulang terhadap kenderaan sama.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata semua kes itu direkodkan dari awal Januari dan stesen terlibat terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand dengan kebanyakan di Tumpat.

“Siasatan awal mendapati pemilik stesen gagal mematuhi arahan berkaitan kawalan penjualan petrol bersubsidi.

“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 12(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki melakukan penjualan secara berulang kepada pihak tertentu dalam cubaan menyeleweng bahan api bersubsidi,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi.

Azman berkata seorang pemilik stesen bakal dituduh dalam masa terdekat manakala selebihnya masih dalam siasatan.

Selain itu, beliau berkata dalam kes terbaharu pihaknya menyiasat sebuah stesen minyak di Wakaf Bharu, Tumpat selepas dikesan membenarkan penjualan berulang kepada individu sama melibatkan lelaki tempatan berusia 29 tahun.

“Suspek ditahan selepas mengisi petrol bersubsidi ke tangki Proton Iswara yang diubah suai kira-kira 11.50 pagi semalam dan pemeriksaan lanjut menemukan 90 liter bahan api itu dalam tangki tambahan kenderaan serta tiga tong plastik mengandungi tambahan 30 liter lagi,” katanya.

Azman berkata beberapa dokumen penting termasuk buku stok serta rekod jual beli turut dirampas daripada pemilik stesen bagi membantu siasatan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Beliau berkata walaupun nilai rampasan bahan api itu dianggarkan RM312 namun pembelian berulang bahan api untuk penyimpanan sebelum diseludup keluar menyebabkan ketirisan hasil negara.

“Dalam kes ini, suspek dipercayai cuba menyeludup petrol bersubsidi itu ke kawasan sempadan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata KPDN tidak akan berkompromi dengan mereka yang bersekongkol menyeleweng barang bersubsidi dan tindakan tegas akan diambil untuk melindungi kepentingan pengguna dan menjamin kestabilan bekalan.- Harian Metro

Related Posts