KUALA LUMPUR: Kekerapan kes penyeludupan haiwan liar dilindungi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kebelakangan ini, mencetuskan lebih banyak tanda tanya berhubung punca bekalan haiwan ini diperoleh.
Lebih menimbulkan persoalan apabila haiwan liar yang cuba diseludup turut membabitkan pelbagai spesies asing yang berasal dari negara jiran atau benua berbeza.
Pertubuhan bukan kerajaan TRAFFIC International Southeast Asia (TRAFFIC) mengutarakan isu itu susulan rampasan pelbagai haiwan liar yang cuba dibawa keluar dari negara ini oleh individu yang melakukan aktiviti haram berkenaan.
“Persoalan paling penting yang timbul dalam kes ini adalah mengenai sumber haiwan yang diseludup.
“Jelas sekali terdapat bekalan (haiwan liar) yang tersedia di Malaysia. Ini dibuktikan apabila hampir 10,000 haiwan diseludup dari Malaysia ke India melalui jalur udara dalam tempoh empat bulan terakhir 2024 sahaja.
“Siapakah (pihak) yang mencari dan membekalkan hidupan liar ini di Malaysia? Berapa besarkah rangkaian ini?” ujar pertubuhan yang aktif memperjuangkan isu perdagangan hidupan liar.
Menurutnya, kepelbagaian spesies haiwan yang dirampas dalam kes terbaharu pada 10 Mei lalu dianggap cukup luar biasa.
“Antaranya monyet dari benua Amerika Selatan (Spider monkey), dua spesies kura-kura unik Indonesia (Sulawesi Forest Turtle dan Pig-nosed Turtle), kura-kura dari negara Afrika (Aldabra Giant Tortoise dan Sulcata Tortoise) dan juga spesies tempatan seperti biawak,” katanya.
Pihak TRAFFIC berkata, sesetengah spesies dalam rampasan terbaharu ini terancam kritikal antaranya spesies Sulawesi Forest Turtle) dan kura-kura Sulcata Tortoise yang biasanya dibiak dalam kurungan.
“Ini bukan kali pertama rakyat Malaysia ditangkap menyeludup hidupan liar dari Malaysia ke India. Baru-baru ini seorang warga Malaysia ditangkap di sebuah hotel di Mumbai, India.
“Turut dirampas tujuh ungka dan dua kera dipercayai diseludup ke negara berkenaan,” katanya. – Harian Metro