Home Mahkamah dan JenayahCubaan seludup bunga ganja lebih RM4 juta ke ibu negara gagal

Cubaan seludup bunga ganja lebih RM4 juta ke ibu negara gagal

oleh suara timur

ALOR SETAR: Cubaan satu sindiket dadah untuk menyeludup bunga ganja bernilai lebih RM4 juta dipercayai ke ibu negara berjaya digagalkan dalam satu operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Rabu lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, operasi yang dijalankan dengan kerjasama Pasukan Peronda Lebuhraya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman serta JSJN Kontinjen Pulau Pinang itu berjaya menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Tol Sungai Dua, Pulau Pinang kira-kira jam 2.30 petang.


“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut telah membawa kepada penemuan empat kotak besar yang dibalut dengan plastik hitam.

“Di dalamnya terdapat 51 bungkusan plastik lut sinar berisi dadah jenis bunga ganja seberat 112.43 kilogram yang dianggarkan bernilai RM4.04 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Isnin.

banner

Menurut beliau, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ ditahan dalam operasi berkenaan.


Siasatan mendapati suspek telah menyewa kenderaan tersebut sebelum memandu ke Chuping, Perlis, di mana tiga ahli sindiket lain mengambil alih kenderaan dan memuatkan dadah sebelum menyerahkannya semula kepada suspek.

“Suspek berasal dari Seberang Perai dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan aktiviti perjudian. Dia dipercayai menerima upah sebanyak RM18,500 untuk menghantar bekalan ganja itu ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

Adzli berkata, sindiket yang dianggotai lima individu itu dipercayai mula beroperasi sejak awal Oktober dan menjadikan sempadan Perlis-Thailand sebagai laluan utama untuk membawa masuk bekalan dadah.


“Jika tidak digagalkan, dadah ini berpotensi digunakan oleh lebih 224,000 penagih. Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.

Dalam kes berasingan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu turut menahan seorang lelaki berusia 59 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah di Pida 6, Ayer Hitam pada hari yang sama.

“Pemeriksaan di luar rumah suspek menemukan satu tong plastik berisi lapan bungkusan ganja seberat 15.5 kilogram yang dianggarkan bernilai RM48,050.

“Siasatan awal mendapati dadah tersebut diseludup dari Satun, Thailand melalui laluan laut dan disimpan sementara oleh suspek,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan di Arau, Perlis. Polis turut merampas 3.3 kilogram ganja dalam serbuan tersebut.

“Suspek kedua direman selama enam hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.

Tambah Adzli, polis kini giat mengesan baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas bagi melumpuhkan sepenuhnya rangkaian pengedaran dadah berkenaan. -Sinar Harian

Tinggalkan komen