Home Mahkamah dan JenayahLelaki gagal larikan rantai emas berharga RM30,000

Lelaki gagal larikan rantai emas berharga RM30,000

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN : Tindakan seorang lelaki untuk melarikan seutas rantai emas bernilai kira-kira RM30,000 gagal apabila dia berjaya diberkas seorang pelanggan lain di sebuah kedai emas di Paka, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Menurutnya, suspek yang memakai kopiah dan pelitup muka masuk ke kedai itu berpura-pura untuk membeli barang kemas.

banner

“Suspek meminta pekerja kedai itu mengambil seutas rantai emas dan berpura-pura untuk membeli barang kemas itu sebelum bertindak melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek gagal melarikan diri selepas pintu automatik kedai itu berjaya dikunci pekerja kedai tersebut. Suspek cuba membuka pintu kedai itu namun salah seorang pelanggan dengan pantas bertindak menangkap suspek sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Maizura berkata, hasil siasatan polis mendapati suspek menggunakan sebuah kereta yang didaftarkan atas nama bapa saudara suspek dengan nombor pendaftaran palsu.

“Suspek ditahan reman sehingga Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial Facebook rakaman video kamera litar tertutup yang memaparkan kejadian itu. – Suara Timur

Tinggalkan komen