BATU PAHAT: Murid perempuan Tahun Dua maut dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, dekat Parit Sulong, di sini, hari ini.
Nur Aini Umairah Mohd Fareez yang berusia lapan tahun dikatakan dilanggar van ketika pulang dari sekolah sekitar jam 12.40 tengah hari, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala.
Kejadian disaksikan beberapa ibu bapa yang kebetulan menunggu anak masing-masing pulang dari sekolah.
Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
“Kenyataan berhubung kejadian itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebaik siasatan awal selesai,” katanya. – Berita Harian
