Home Nasional‘Tak sampai seminit bergerak, isteri dah bersalin dalam SUV’ – Ustaz Adlan

‘Tak sampai seminit bergerak, isteri dah bersalin dalam SUV’ – Ustaz Adlan

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: “Saya bersyukur Allah SWT permudahkan semuanya. Belum sempat berhentikan kereta di tepi jalan, isteri sudah bersalin.”

Itu kata penceramah agama, Mohd Adlan Mokhtaruddin, 39, ketika diminta berkongsi kisahnya menyaksikan kelahiran anak ketujuh di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz miliknya pada Selasa lalu, bersamaan 28 Syaaban.

Gambar kenangan selepas situasi mendebarkan itu dikongsikan Mohd Adlan di laman sosial Facebook dan menarik perhatian warganet.

Berkongsi kisah itu, Mohd Adlan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika dia dan isteri, Zulaikha Ali, dalam perjalanan dari rumah di Cheras ke Hospital Kajang.

banner

“Mengikut perancangan awalnya kami ingin pulang ke kampung di Muar, Johor untuk menyambut Ramadan bersama keluarga.

“Tapi tengah hari itu isteri beritahu mengalami kontraksi berpanjangan seperti mahu bersalin.

“Jadi saya terus ajak isteri ke hospital tapi sebaik isteri melangkah masuk ke dalam kenderaan, air ketubannya pecah.

“Ketika itu memang saya terkejut lalu segera memandu untuk ke hospital. Tidak sampai seminit perjalanan, isteri melahirkan bayi lelaki dan dia menyambutnya sendiri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, Mohd Adlan berkata, beliau memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk memastikan keadaan bayi dan isterinya selamat.

Beliau kemudian meneruskan perjalanan ke hospital dan sebaik tiba, beliau dibantu oleh pasukan perubatan yang memotong tali pusat sebelum membawa kedua-dua isteri serta bayinya ke wad bersalin.

“Alhamdulillah, isteri dan bayi lelaki stabil dan kedua mereka sudah dibenarkan keluar hospital semalam bersamaan 1 Ramadan,” katanya.

Meskipun berdepan pengalaman mencemaskan, Mohd Adlan bersyukur kerana Allah SWT mempermudahkan urusannya dan isteri.

“Ini pengalaman cemas kedua dilalui kami sebelum Ramadan yang mana tahun lalu kami diuji kemalangan dan isteri keguguran anak keenam,” katanya.

Katanya, kedua pengalaman itu akan terus segar dalam ingatannya. – Metro

Tinggalkan komen