Home NasionalTujuh negeri catat hampir 100 peratus penggunaan SARA

Tujuh negeri catat hampir 100 peratus penggunaan SARA

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang serta Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan kadar purata penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menghampiri 100 peratus.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan tidak melihat cabaran besar dalam pelaksanaan SARA setakat ini, biarpun ia melibatkan jumlah transaksi besar lebih 20 juta pengguna.

“Bila kita tengok dari segi negeri-negeri, purata penggunaannya sudah mencapai 99 peratus. Untuk Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang serta Wilayah Persekutuan Labuan, dia dekat purata 100 peratus.

“(Baki) perbelanjaan bulanan SARA tak boleh dibawa ke tahun hadapan. Jadi, pengguna digalak menyemak kredit yang ada dan gunakan sebelum akhir tahun ini,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

banner

Sehingga semalam, Amir Hamzah berkata, hampir 5.6 juta penerima SARA sudah menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan asas di premis berdaftar, mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 99 peratus secara keseluruhan dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM4.59 bilion.

“Bagi penghargaan SARA one-off kepada lebih 22 juta rakyat dewasa pula menyaksikan lebih 20 juta rakyat sudah berbelanja atau 92 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima dengan nilai perbelanjaan melebihi RM1.91 bilion.

“Kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan program bantuan Kerajaan terus disalurkan kepada golongan memerlukan dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan, hampir 5.6 juta penerima SARA bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) direkodkan dengan jumlah kelayakan SARA untuk setahun sebanyak RM5 bilion.

Amir Hamzah berkata, kapasiti sistem pembayaran SARA juga sudah melalui penambahbaikan ketara, untuk menangani lonjakan transaksi susulan pelaksanaan penghargaan SARA dan bantuan SARA bulanan penerima STR.

“Berdasarkan prestasi semasa pelaksanaan SARA, transaksi seminit adalah 7,000 berbanding 2,700 transaksi seminit sebelum ini dan akan mencecah 10,000 transaksi seminit selepas penambahbaikan ke atas sistem pada akhir tahun ini. Pada ketika ini, purata transaksi seminit adalah 1,000 mengambil kira kestabilan sistem dan pembelian dibuat penerima,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi isu penyalahgunaan MyKad pula, memegang dan menggunakan MyKad orang lain adalah kesalahan menurut Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Peraturan 25).

“Sekiranya terdapat kehilangan MyKad, adalah disarankan laporan dan aduan rasmi dibuat kepada pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan proses penggantian MyKad dibuat segera dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya. – Metro

Tinggalkan komen