KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang, 3.46 petang, semalam.
Menurutnya, kanak-kanak itu dibawa ke klinik dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kesan lebam dan luka pada beberapa bahagian badan termasuk dada kiri, kedua-dua paha serta betis kanan.
“Hasil pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kesan lebam dan luka pada beberapa bahagian badan termasuk dada kiri, kedua-dua paha serta betis kanan.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah komplikasi iskemia anggota badan akut dipercayai berpunca daripada kecederaan patah tulang paha yang menekan otot dan salur darah utama.
“Keadaan itu menyebabkan komplikasi serius apabila mangsa tidak menerima rawatan segera,” katanya.
Azli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – Metro
