KUALA TERENGGANU: Gara-gara mencuri beberapa barangan di sebuah pasar raya, seorang suri rumah dipenjara dua bulan dan didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Wanita tersebut mencuri sehelai baju, empat helai tudung, sehelai pakaian dalam, sepasang selipar dan pencuci muka milik pasar raya itu yang bernilai RM204.40 pada 18 Februari lalu.
Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak membuat keputusan itu selepas tertuduh,
Rosnurdalila Yusop, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mencuri beberapa barangan di pasar raya itu pada pukul 7 malam.
Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Iffah Nabihah mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula daripada tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Azlina Jaafar. – Suara Timur