PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, membebaskan bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari atas satu kes mengabai kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan isterinya, Ismanira Abdul Manaf membela diri atas pertuduhan berkenaan kerana terdapat prima facie terhadap wanita itu dalam kes berkenaan.
“Mahkamah bebaskan Zaim Ikhwan sementara Ismanira diperintah membela diri,” kata hakim itu.
Keadaan mahkamah yang senyap bertukar penuh emosi apabila ahli keluarga termasuk bapa arwah, Zahari Mohd Reba, 56, menangis sambil memeluk ahli keluarga yang lain.
Pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu turut mengalirkan air mata ketika mendengar keputusan dari kendang tertuduh.
Mahkamah kemudiannya menawarkan tiga pilihan iaitu pertama, memberi keterangan bersumpah dari kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan itu.
Kedua pula, memberi keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan tertuduh atau ketiga, berdiam diri serta tidak menjawab pertuduhan.
Selepas berbincang dengan peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh, Ismanira mengambil pilihan ke pertama.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. – Sinar Harian