KUALA LUMPUR: Polemik pembangunan semula Kampung Sungai Baru di sini menjadi tumpuan hari ini.
Namun di sebalik kekecohan yang berlaku, Pengerusi Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus tampil menjelaskan isu sebenar yang menurutnya jauh berbeza daripada gambaran tersebar di media sosial.
Menurutnya, projek pembangunan semula ini lahir daripada inisiatif penduduk sendiri bukan paksaan daripada mana-mana pihak luar.
“Persatuan kami ditubuhkan pada 2016 oleh generasi terdahulu yang melihat keadaan rumah semakin uzur manakala pajakan tanah pula semakin singkat.
“Majoriti penduduk pada waktu itu sedar mereka tidak mampu membaiki rumah sendiri maka diputuskan untuk mencari pemaju bagi membangunkan semula kampung ini.
“Jadi jangan salah faham, bukan pemaju yang datang cari kami tetapi kami yang keluar mencari pemaju,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sanita mendedahkan, pampasan yang diberikan pemaju sangat munasabah dan tinggi malah ada yang mencecah sehingga RM1 juta hingga RM3.8 juta bagi satu unit rumah teres mengikut keluasan.
“Kalau ikut penilaian kerajaan, nilai asal sekitar RM400 sekaki persegi tapi pemaju bersetuju memberi pampasan RM850 sekaki persegi, hampir dua kali ganda lebih tinggi.
“Jadi sebenarnya ia tawaran yang sangat baik dan jarang berlaku dalam projek pembangunan semula,” katanya.
Jelasnya lagi, hampir semua penduduk menerima pampasan tersebut termasuk yang berpindah ke penempatan sementara.
Bagi pemilik rumah teres, selain pampasan mereka turut menerima bayaran sewa bulanan sebanyak RM2,500 selama lapan tahun.
“Penduduk yang dipindahkan ke flat transit juga tidak perlu bayar sewa kecuali kos utiliti asas. Pemaju menanggung segalanya. Jadi di mana lagi silapnya? Kebajikan mereka tetap dijaga sepanjang menunggu projek siap,” katanya.
Menyentuh mengenai penentangan yang masih berlarutan, Sanita mendedahkan, ia hanya melibatkan segelintir kecil penduduk khususnya pemilik rumah flat yang berdepan isu pembahagian faraid.
“Bila harta itu dibahagi sesama adik-beradik yang ramai, sudah tentu bahagian yang diterima lebih kecil. Mungkin sebab itu ada rasa tidak puas hati.
“Tetapi jangan pula perkara ini diputar belit seolah-olah keseluruhan projek ini menindas penduduk lain yang sememangnya mahukan pembangunan ini,” tegasnya.
Menurutnya, semua pampasan utama telah dibayar sejak 2023 malah difahamkan bagi mereka yang tidak bersetuju, isu tersebut dibawa ke mahkamah dan sedang melalui proses sewajarnya.
“Jangan kata penduduk tidak diberi pilihan. Hak mereka dijamin malah proses mahkamah membuktikan sistem ini telus. Jadi tidak timbul isu kononnya ada penindasan atau rampasan tanah,” katanya.
Dalam pada itu, Sanita turut mengakui perjalanan projek itu bukan mudah kerana berdepan pelbagai cabaran politik sejak beberapa tahun lalu.
“Kita lalui pelbagai Menteri Wilayah, ada yang menyokong, ada yang ragu-ragu tetapi akhirnya keputusan mahkamah berpihak kepada pembangunan ini.
“Menteri Wilayah yang ada sekarang, Dr. Zaliha (Mustafa) telah memberi sokongan padu dan memastikan semua berjalan ikut peraturan,” ujarnya.
Namun yang lebih merunsingkan, katanya, persepsi masyarakat luar yang mudah terpengaruh dengan naratif media sosial tanpa memahami fakta sebenar.
“Kebanyakan yang hadir buat kecoh ketika operasi pengosongan bukan penduduk. Kami di kampung ini semua kenal antara satu sama lain. Jadi jelas, orang luar yang tiada kena-mengena cuba ambil kesempatan,” dakwanya.
Sanita berkata, lebih 220 keluarga telah menandatangani perjanjian dengan pemaju dan akan kembali mendiami Kampung Sungai Baru setelah projek siap.
“Ini hasrat kami sejak sekian lama. Kami mahu melihat ekonomi bumiputera di bandar berkembang dan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur menikmati kediaman yang lebih moden, lebih selesa tetapi tetap di tanah tumpah darah sendiri,” katanya.
Justeru beliau menyeru orang ramai untuk tidak lagi mempercayai fitnah atau provokasi yang berlegar di media sosial.
“Datanglah ke pejabat persatuan, bertanya terus kepada kami atau berbincang dengan pemaju. Jangan mudah terpedaya dengan cerita separuh benar. Projek ini adalah usaha penduduk sendiri demi masa depan anak cucu kami.
“Doakan projek ini berjalan lancar. Kami mahu kembali ke rumah baharu kami selepas lapan tahun menunggu. Jangan salah ertikan perjuangan kami, ini bukan isu politik bukan isu kaum tetapi soal kelangsungan hidup penduduk Kampung Sungai Baru,” ujarnya. – MalaysiaGazette