Negara

Isu gambar Jalur Gemilang: Ketua Pengarang, timbalan Sin Chew Daily selesai rekod keterangan – KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai merakam keterangan beberapa individu termasuk Ketua Pengarang dan Timbalan Ketua Pengarang akhbar Sin Chew Daily berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, mereka antara individu yang dipercayai meluluskan gambar berkenaan.

Selain itu kata beliau, polis turut merakamkan percakapan pereka grafik gambar terbabit yang bertindak menghasilkan ilustrasi berkenaan.

“Polis telah membuka kertas siasatan dan percakapan telah pun diambil. Ketua Editor dan timbalannya yang memainkan peranan meluluskan gambar bendera tersebut serta pereka grafik terlibat dalam menghasilkan ilustrasi berkenaan,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.

Jelas Razarudin, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan dijangka diselesaikan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat dan tindakan lanjut.

“Kita akan rujuk hasil siasatan kepada pihak AG untuk mendapatkan nasihat serta cadangan susulan,” jelasnya.

Terdahulu, akhbar berbahasa Cina itu menerima kritikan daripada pelbagai pihak selepas menyiarkan gambar bendera Malaysia yang tidak mengikut spesifikasi rasmi.

Dalam pada itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang pada muka hadapan akhbar itu.

Dalam satu kenyataan, agensi media berkenaan menjelaskan bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi tersebut disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Pindaan segera sudah dilakukan terhadap ilustrasi versi digital manakala ilustrasi dipinda dan disempurnakan diterbitkan semula pada Rabu dalam versi cetakan akhbar berkenaan. – Astro Awani

Related Posts