SEPANG: Semua 23 sukarelawan warga Malaysia yang dibebaskan selepas ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) di sini, malam ini.
Hasil semakan mendapati pesawat Emirates EK342 dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang membawa kumpulan aktivis berkenaan sudah mendarat sekitar jam 10.07 malam.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, turut hadir di Balai Ketibaan KLIA1 untuk menyambut ketibaan kumpulan sukarelawan berkenaan.
Lebih 300 penyokong turut memenuhi Balai Ketibaan itu bagi menyambut kepulangan sukarelawan berkenaan.
Sejak jam 8 malam, suasana di lokasi gamat dengan laungan ‘Free Palestine’, ‘Hidup Gaza’, ‘Hancur Israel’ serta takbir, selain nyanyian lagu patriotik ‘Inilah Barisan Kita’ dengan diiringi kibaran bendera Malaysia dan Palestin.
Selain penyokong dan ahli keluarga, lebih 50 pengamal media turut berada di lokasi bagi membuat liputan kepulangan sukarelawan berkenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at, berkata pihaknya meningkatkan kawalan keselamatan di lokasi berikutan kehadiran ramai orang awam, sekali gus memastikan proses ketibaan kumpulan sukarelawan terbabit berjalan lancar.
“Lebih 30 pegawai dan anggota polis ditugaskan di kawasan Balai Ketibaan untuk tujuan itu,” katanya.
Antara peserta misi kemanusiaan GSF ke Gaza itu ialah Datin Seri Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah; Nurfarahin Romli (Farah Lee), Danish Nazran Murad, Zizi Kirana, Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana), PU Rahmat, Musa Nuwayri, Iylia Balqis Suhaimi, Sul Aidil, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin serta Rusydi Ramli.
Selain itu, Razali Awang, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak, Zainal Rashid Ahmad, Muhammad Abdullah atau Ustaz Mad Kecik, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli serta Dr Taufiq Mohd Razif.
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara yang belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, selain membawa bantuan kemanusiaan berbentuk makanan, susu dan ubat-ubatan kepada penduduk di wilayah itu. – Berita Harian