Negara Politik

Sultan Mizan titah kukuhkan hubungan erat Kerajaan Persekutuan

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan kerajaan negeri terus memperhebat usaha serta merangka perancangan yang lebih strategik bagi memastikan setiap projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Baginda bertitah, bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri perlu memperkukuh hubungan serta mempererat jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan yang berkesan, seterusnya menjamin kesejahteraan masyarakat serta memacu pertumbuhan ekonomi.

“Sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12, Beta menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan bagi kelulusan sebanyak 408 projek pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM13.56 bilion.

“Pelaksanaan projek ini telah memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat Beta, termasuk mempertingkatkan kemudahan infrastruktur serta memperkukuh daya saing komuniti secara menyeluruh,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke 15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Baginda turut bertitah, Pasar Payang adalah destinasi pelancongan ikonik yang begitu sinonim dengan Negeri Terengganu, selain berperanan sebagai nadi ekonomi serta pusat kebudayaan masyarakat setempat.

“Dengan siapnya projek pembinaan Pasar Payang baharu, kemudahan yang lebih selesa kini ditawarkan kepada para peniaga untuk memasarkan pelbagai hasil kraf tangan, termasuk songket, batik, serta aneka makanan tradisional yang menjadi kebanggaan negeri.

“Pasar Payang bukan sekadar pusat perdagangan, tetapi juga lambang keunikan dan warisan budaya kita yang perlu terus dipelihara.

“Beta berharap pihak berwajib memainkan peranan yang sewajarnya dalam memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa diselenggara dengan baik,” titah baginda.

Titah baginda, dengan usaha yang berterusan, Pasar Payang akan terus kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi yang berdaya maju kepada para peniaga. – Metro

Related Posts