KUALA TERENGGANU: Tiga bahagian BERSATU di Terengganu mengemukakan usul supaya presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinamakan ‘poster boy’ Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris, berkata usul itu dikemukakan pada persidangan bahagian Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman Jumaat lalu.
“Perwakilan BERSATU di lapan bahagian juga membuat ketetapan mengekalkan Muhyiddin sebagai presiden parti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Razali yang juga EXCO negeri, berkata pendirian perwakilan lapan bahagian itu bertepatan dengan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada November tahun lalu.
Katanya, MPT memutuskan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.
“Pada pemilihan itu, perwakilan BERSATU di seluruh negara memutuskan Muhyiddin, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengekalkan jawatan presiden dan timbalan presiden untuk tempoh tiga penggal iaitu bermula 2023 hingga 2027,” katanya. – Berita Harian