SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura berjaya mengekalkan majoriti melebihi dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen.
Keputusan rasmi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Han Kok Juan bagi setiap bahagian pilihan raya dan disiarkan secara langsung di televisyen.
Keputusan turut boleh diakses menerusi laman sesawang Jabatan Pilihan Raya (ELD).
PAP memperoleh kemenangan besar dengan 65.57 peratus undi popular, mencatat peningkatan lebih empat mata peratusan berbanding keputusan pada 2020.
Lima kerusi dimenangi tanpa bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Marine Parade–Braddell Heights pada hari penamaan calon.
Kemenangan bergaya ini mencerminkan mandat kukuh kepada Perdana Menteri sementara merangkap Setiausaha Agung PAP, Lawrence Wong, yang mengetuai parti itu dalam pilihan raya umum buat kali pertama.
Bercakap pada sidang media selepas keputusan diumumkan, Lawrence berkata beliau merasa terharu dan berterima kasih atas mandat yang diberikan.
Beliau juga berjanji akan berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira siapa yang mereka undi, dengan rasa penuh rendah hati dan tanggungjawab.
Katanya, keputusan itu akan meletakkan Singapura dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi ketidaktentuan dunia, terutamanya apabila semua anggota utama pasukannya turut berjaya dipilih.
“Ia satu isyarat yang jelas tentang kepercayaan, kestabilan dan keyakinan terhadap kerajaan anda. Tugas utama saya sekarang ialah membentuk Kabinet.
Saya akan umumkan senarai Kabinet apabila sudah bersedia,” katanya.
PAP bertanding di kesemua 33 bahagian pilihan raya, merangkumi 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan 18 GRC.
Pada PRU2020, PAP memenangi 83 daripada 93 kerusi dengan 61.2 peratus undi.
PRU2025 merupakan pilihan raya umum ke-19 di Singapura dan yang ke-14 sejak negara itu merdeka pada 1965. – Berita Harian