HULU TERENGGANU: Hanya 40 peratus wanita di Malaysia menjalani saringan kanser serviks seperti dilaporkan dalam satu kajian, sekali gus memberi petunjuk kepada semua pihak untuk memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran terhadap risiko penyakit itu yang merupakan kanser keenam tertinggi dalam kalangan wanita di negara ini.
Berikutan situasi berkenaan, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKNN) tekad untuk meningkatkan peratusan wanita yang menjalani saringan kanser serviks sekali gus merapatkan jurang akses maklumat kesihatan awam, khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar.
Sebagai usaha ke arah itu, LPKNN mengambil pendekatan melantik duta daripada komuniti setempat, termasuk masyarakat luar bandar, bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan kanser serviks dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan proaktif mengikut sentimen masyarakat yang dilihat masih belum bersedia sepenuhnya untuk menjalani saringan berkenaan.

Sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 peringkat negeri Terengganu yang disambut setiap Januari, LPKNN memilih daerah Hulu Terengganu sebagai lokasi pelantikan beberapa duta komuniti, termasuk daripada masyarakat Orang Asli yang merupakan penduduk asal kawasan itu.
Ketua Pengarah LPKNN, Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata bagi tahun 2026, pihaknya memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar serta etnik tertentu yang dikenal pasti masih sukar mendapatkan akses maklumat berkaitan kanser serviks, walaupun program saringan telah dilaksanakan sejak 2019.
“Kita melantik duta-duta ini supaya kumpulan sasar dapat menerima hebahan maklumat dengan lebih mudah difahami mengikut dialek etnik dan lenggok bahasa daerah masing-masing.

“Selain menyampaikan maklumat, duta yang dilatih ini juga akan membantu menjalankan proses saringan dalam komuniti mereka, sekali gus memudahkan pelaksanaan program ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah LPKNN Terengganu, Naemah Ibrahim.
Beliau berkata, LPKNN menyasarkan pelantikan seramai 100 duta dalam kalangan masyarakat Orang Asli di seluruh negara, selain duta komuniti lain, bagi membantu meningkatkan kadar saringan kanser serviks dengan sasaran 32,000 saringan di peringkat nasional tahun ini. – Suara Timur
