LUMUT: Masjid An-Nasriyah di Sitiawan dipecah masuk awal pagi semalam oleh dua lelaki tidak dikenal pasti yang kini sedang diburu oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima laporan daripada wakil masjid kira-kira pukul 7.30 pagi semalam.
“Kejadian disedari oleh tok siak semasa hendak masuk ke dalam masjid untuk solat subuh.
“Pengadu kemudian memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua lelaki telah memecah masuk masjid lebih kurang pukul 4.50 pagi,” katanya di sini hari ini.
Hasbullah berkata, siasatan mendapati suspek menggunakan pakaian bertutup kepala (hoodies) warna gelap sebelum masuk ke ruang solat utama dengan mengumpil pintu cermin sehingga menyebabkan ia pecah.
Katanya, suspek disyaki mengumpil tiga buah tabung masjid sekali gus menyebabkan kerugian wang tunai termasuk kerosakan dianggarkan sebanyak RM1,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Muhammad Hafiz Rahimi Mohamad Hilmi di talian 010-823 9891,” ujarnya. – Kosmo
