SHAH ALAM: Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada dalam keadaan stabil dan mula sedar sepenuhnya.
Perkembangan tersebut dikongsikan Setiausaha Akhbar Ahli Parlimen Bera itu, Azran Fitri Rahim menerusi hantaran di Facebook.
“Alhamdulillah keadaan beliau pada petang ini telah stabil dan sedar sepenuhnya.
“Bagaimanapun beliau masih memerlukan pemerhatian rapi dan doktor juga tidak membenarkan Datuk Seri menerima pelawat buat sementara waktu sehingga kesihatannya kembali pulih.
“Hanya keluarga terdekat sahaja dibenar untuk menziarahi beliau,” katanya.
Sebelum ini Ismail Sabri dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Damansara selepas rebah secara tiba-tiba pada jam 2.30 pagi Sabtu.
Dalam pada itu Azran Fitri turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang bertanya khabar dan mendoakan kesihatan bekas Naib Presiden UMNO itu.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan beliau supaya kembali pulih seperti sediakala.
“Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan dan rahmat Yang Maha Esa,” ujarnya. – Sinar Harian