KOTA BHARU: Kira-kira 30 daripada 200 pengusaha restoran makanan dan industri kecil di Kelantan terpaksa gulung tikar atas pelbagai faktor sejak 2021 sehingga sekarang hari ini.
Pengerusi Persatuan Pemilik Restoran Melayu Kelantan (Perkema), Che Syadina Che Daud berkata, kenaikan kos bahan mentah, pelaksanaan gaji minimum, penyasaran subsidi minyak masak, gas memasak, kenaikan bil elektrik serta beberapa faktor lain menyebabkan pengusaha terpaksa mengangkat bendera putih serta mengaku kalah.
“Kami (peniaga) tidak menolak usaha kerajaan untuk merasionalisasi
subsidi. Namun, kami (peniaga) mencadangkan agar pendekatan yang lebih bersasar dan adil dilaksanakan seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST ) yang hanya dikenakan kepada syarikat dengan jualan melebihi RM1.5 juta setahun.
“Selain itu, mencadangkan agar subsidi gas dan minyak masak hanya ditarik secara berperingkat berdasarkan jumlah jualan tahunan atau tahap kestabilan sesebuah syarikat,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Tunjung di sini hari ini.
Che Syadina memberitahu, langkah itu membolehkan prinsip keadilan dan kebajikan rakyat dipelihara selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
Katanya, kenaikan kos bahan mentah dan keperluan lain menyebabkan pengguna terbeban apabila peniaga terpaksa memperkenalkan harga baharu.
” Perkema akan menghantar surat kepada pihak berkenaan termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dapat melihat perkara ini dengan sebaik mungkin,” ujarnya. – Utusan