Home NegeriPemandu lori direman tiga hari

Pemandu lori direman tiga hari

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pemandu lori direman selama tiga hari sehingga Rabu ini oleh Mahkamah Majistret Kemaman bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan maut yang mengorbankan seorang juruteknik, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 47 tahun yang berasal dari Permaisuri, Setiu itu dikeluarkan Majistret Marsha Abdul Malik hari ini.

Beliau berkata, suspek yang mengalami kecederaan ringan sebelum ini telah dibenarkan keluar dari Hospital Kemaman semalam, sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret pagi tadi bagi proses permohonan reman.

banner
PEMANDU yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan seorang juruteknik di LPT 2 dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah dan dia juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin, sebuah treler yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Tol Jabor menuju ke Kuala Besut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah Mitsubishi Triton yang dinaiki mangsa bersama dua anaknya di lorong kanan lebuh raya.

Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit terbabas dan merempuh penghadang jalan sebelum memasuki laluan bertentangan, lalu sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak dan turut merempuh Mitsubishi Triton tersebut.

Kemalangan berkenaan mengakibatkan pemandu Mitsubishi Triton, Rosli Yusuf, 54, maut di lokasi kejadian, manakala dua anaknya, Iliya Markisa, 23, dan Auni Ukhratan Basyirah, 14, cedera di bahagian kepala, leher, muka dan mata.

Seorang penumpang Proton X50 turut mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan leher.

Mohd. Razi berkata, setakat ini Iliya Markisa masih menerima rawatan di Hospital Kemaman, manakala adiknya telah dibenarkan keluar dari hospital. – Suara Timur

Tinggalkan komen