Home NegeriWarga emas hilang ditemukan maut di kawasan berpaya

Warga emas hilang ditemukan maut di kawasan berpaya

oleh suara timur

KEMAMAN: Misteri kehilangan seorang warga emas sejak Ahad lepas di Kampung Baru, Felda Neram Satu di sini, terungkai apabila mayatnya ditemukan dalam kawasan berpaya hari ini.

Mangsa, Abdullah Besar, 70, ditemukan pada kira-kira 11.15 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) yang diwujudkan sepanjang operasi berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, Penguasa Bomba Mohd Hafizul Mohamad berkata. pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kehilangan mangsa pada 6.40 petang, Isnin lepas.

ABDULLAH BESAR

Beliau berkata mangsa dilaporkan keluar bersendirian dari rumah adiknya di Kampung Baru, Felda Neram Satu pada kira-kira 7 pagi Ahad sebelum gagal pulang ke rumah.

banner

“Operasi SAR yang memasuki hari keempat hari ini menumpukan pencarian di sekitar kawasan Jabor Perasing serta kawasan ladang ternakan ayam dalam lingkungan radius sehingga 10 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di kawasan semak yang berlopak air oleh pasukan SAR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi itu membabitkan sembilan anggota BBP Cheneh dengan dibantu Unit STORM, Unit Anjing Pengesan (K9), anggota bomba sukarela Felda Seberang Tayor dan Felda Neram Satu serta penduduk kampung.

Mohd Hafizul berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan tindakan lanjut. – Suara Timur

Tinggalkan komen