Mahkamah dan Jenayah Negara

Pembangunan Kelantan dijangka pesat dengan projek Belanjawan 2026

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap projek infrastruktur utama termasuk pembinaan Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai serta projek tebatan banjir dapat dilaksanakan dengan teratur dan mengikut jadual sepanjang tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, ia termasuk projek-projek yang sudah diluluskan tetapi masih berstatus belum dimulakan melalui RMK terdahulu demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri.

“Menerusi Belanjawan 2026 semalam, Kerajaan Persekutuan mengumumkan beberapa peruntukan penting ke arah memperkukuh pembangunan jangka panjang untuk Kelantan.

“Antara projek baru yang menjadi keutamaan ialah naik taraf jalan sedia ada kepada jalan berkembar empat lorong di Rantau Panjang dan naik taraf landasan kereta api Pasir Mas – Rantau Panjang di samping projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP)

“Selain itu, projek jalan utama Kubang Kerian–Bachok dan Pasir Mas–Salor, Sistem Saliran Bandar Baru Tunjong, projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Mukim Tiong dan Mukim Jelutong, serta sistem bekalan air luar bandar di Pasir Mas,” katanya.

Jelasnya, kerajaan Kelantan menzahirkan harapan agar lebih banyak projek baharu dalam sektor pertanian dan pelancongan dapat diberi perhatian di bawah fasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Katanya, ia memandangkan kedua-dua sektor berkenaan mempunyai potensi besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan.

“Kita mengalu-alukan peruntukan yang diumumkan kepada Kelantan bagi memperkukuhkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

“Kejayaan pelaksanaan projek-projek berkenaan yang cekap dan berkesan bukan sahaja akan memperkukuh asas pembangunan negeri, malah turut memberi kesan langsung kepada peningkatan taraf hidup rakyat,” katanya. – Harian Metro

Related Posts