ALOR SETAR: Sindiket curi kenderaan pacuan empat roda yang aktif melakukan jenayah di empat negeri akhirnya tumpas selepas tiga ahlinya ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah inap desa di Taman Sejahtera, Sik, pada 1 Mei lalu.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Kontinjen Kedah dan Melaka hasil risikan khas Bahagian D4, susulan pembabitan kumpulan itu dalam lebih 70 kes kecurian sejak 2023.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, ketiga-tiga suspek lelaki tempatan berusia 35 hingga 37 tahun dikesan berada di inap desa terbabit sebelum mereka bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis, menyebabkan anggota terpaksa berbalas tembakan demi mempertahankan diri.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dua suspek maut di bilik tidur utama selepas melepaskan tembakan, manakala seorang lagi menyerang polis menggunakan parang sebaik keluar dari bilik di bahagian belakang rumah.
“Seorang anggota polis cedera akibat terkena libasan parang pada body armour vest (baju kalis peluru), memaksa tindakan tegas diambil terhadap suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek berusia 36 tahun memiliki 54 rekod jenayah dan dadah, suspek kedua (37 tahun) pula mempunyai 51 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala suspek ketiga (35 tahun) mempunyai dua kes jenayah dan lima kes dadah.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kenderaan Honda CR-V yang digunakan suspek, dilaporkan dicuri di Petaling Jaya pada 26 April lalu, selain polis turut menemui 26 nombor pendaftaran kenderaan palsu, tujuh kad Touch ‘n Go, dua alatan pembuka tayar serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti curi kenderaan.
Katanya, sindiket itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 73 kes curi kenderaan pacuan empat roda sejak 2023, termasuk 18 kes di Melaka sahaja antara Januari hingga April tahun ini, selain turut aktif melakukan jena
“PDRM turut berjaya mengesan dan mendapatkan semula dua Toyota Hilux yang diseludup ke sempadan melalui laluan tikus hasil kerjasama dengan Unit Risikan Sempadan (URS), Malaysian Police Liaison Office (MPLO) dan Royal Thai Police (RTP).
“Kedua-dua kenderaan ditemui di daerah Saba Yoi, Wilayah Songkhla, Thailand, jam 3 petang pada hari sama,” katanya.
Katanya, empat warga Thailand berusia 34 hingga 58 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penghantar kenderaan curi ke utara Thailand turut ditahan pihak berkuasa negara itu bagi membantu siasatan.
Susulan kejadian, katanya, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) kerana melepaskan tembakan ketika melakukan kesalahan berjadual. – Metro Harian