KUALA LUMPUR: Himpunan anjuran pembangkang ditunjangi PAS di Dataran Merdeka di sini, hari ini berlangsung tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata pihaknya menganggarkan seramai 18,000 peserta hadir berhimpun di Dataran Merdeka.
Katanya, sehingga jam 5.30 petang tadi, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung sebarang kejadian berkaitan perhimpunan terbabit.
“Setakat ini tiada sebarang masalah yang dikesan berlaku semasa perhimpunan, semuanya berjalan dengan lancar.
Mohamed Usuf turut menasihatkan penganjur untuk lebih telus berhubung sebarang perancangan untuk penganjuran perhimpunan pada masa akan datang.
Katanya, ini adalah berkaitan mengenai isu keselamatan orang ramai ketika perhimpunan berlangsung.
“Pihak polis perlu menitikberatkan isu keselamatan kerana ini adalah tanggungjawab utama kami dan apa sahaja insiden yang mungkin berlaku adalah di bawah tanggungjawab kami sepenuhnya.
“Polis akan sentiasa mengikut peruntukan undang-undang dan kita akan mempermudahkan sebarang perancangan untuk berhimpun.
“Tuan-tuan sebagai rakyat Malaysia ada hak untuk berhimpun dan kami akan mempermudahkan dan membantu dari segi kawalan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Beliau berkata, seramai 3,000 pegawai dan anggota PDRM ditugaskan mengawasi perjalanan perhimpunan berkenaan. – Berita Harian