Negara

Terengganu, Pahang antara 6 negeri terdedah ancaman gempa bumi

KUALA LUMPUR: Enam negeri iaitu Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan Sabah dan Sarawak dikenal pasti sebagai kawasan yang terdedah kepada ancaman gempa bumi, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii, berkata kajian pemetaan sesar aktif Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Peta Seismotektonik Malaysia mendapati zon sesar di enam negeri itu, yang dikenal pasti terdedah kepada ancaman bencana alam berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia yang diterbitkan oleh JMG dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), universiti tempatan dan agensi teknikal berkaitan kini sedang dilaksanakan.

“Pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia dengan mengambil kira maklumat terkini seperti kejadian gempa bumi yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini, kewujudan sesar aktif bahan geologi dan maklumat siasatan tanah.

“Kejadian gempa bumi di Segamat dan Batu Pahat adalah satu proses pelarasan semula tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar kuno bagi menstabilkan semula kerak bumi.

“Ini dipengaruhi oleh lanjutan zon Sesar Mersing iaitu sistem sesar utama di Johor Timur… berdasarkan data sedia ada dan terbaharu, Segamat khususnya dan Johor amnya masih berada dalam zon selamat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Antara yang turut bekerjasama dalam pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia terbitan JMG itu termasuklah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), universiti tempatan serta agensi berkaitan.

Menjawab pertanyaan mengenai gegaran berulang di Segamat dan Batu Pahat, Huang menjelaskan kejadian itu merupakan proses pelarasan semula tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar kuno bagi menstabilkan kerak bumi.

“Berdasarkan data sedia ada dan terbaharu, Segamat khususnya dan Johor amnya masih berada dalam zon selamat,” jelasnya.

Dalam masa sama, kerajaan melalui JMG dan MetMalaysia terus bekerjasama dalam pemantauan aktiviti seismik bagi memastikan sistem amaran dan tindak balas bencana berfungsi dengan berkesan.

Huang turut memaklumkan bahawa Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang merangkumi pengukuhan 12 stesen seismik di seluruh negara serta pembinaan dua stesen baharu di Segamat dan Muar, Johor.

“Projek itu merangkumi pengukuhan 12 stensen seismik di seluruh negara termasuk pembinaan dua stesen baharu di Segamat dan Muar, Johor serta menaik taraf empat stesen sedia ada di Johor Bahru, Batu Pahat dan Gelang Patah daripada jenis ‘strong to weak motion’ untuk mengesan gegaran bermagnitud lemah,” katanya.

Related Posts