Mahkamah dan Jenayah

Pemilik lori nekad bakar kenderaan elak disita JPJ

KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik lori bertindak nekad membakar kenderaan miliknya sendiri semata-mata bagi mengelak disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Air, Kuala Nerus di sini.

Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, kejadian berlaku ketika pasukan rondaan JPJ mengesan sebuah lori disyaki melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas sebelum menahan kenderaan terbabit untuk pemeriksaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori itu seorang remaja bawah umur, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh lebih dua tahun, selain dikesan gagal menjalani pemeriksaan PUSPAKOM sejak 2023.

“JPJ mengambil tindakan menyita lori itu namun pemilik kenderaan yang tiba di lokasi kemudian enggan memberi kerjasama dan bertindak membakar lori berkenaan dalam cubaan menghalang tindakan sitaan.

“Siasatan awal mendapati pemilik syarikat mempunyai enam saman aktif atas nama syarikat serta empat saman atas nama pemandu,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, antara kesalahan yang direkodkan termasuk memandu tanpa LKM sah, tiada insurans, pemandu bawah umur di bawah 17 tahun serta dua kesalahan ubah suai kenderaan.

Katanya, JPJ akan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batas undang-undang, selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selain disabitkan mengganggu tugas penjawat awam dan akan dilaporkan ke Jabatan Tenaga Kerja, selain dalam siasatan polis. – Metro

Related Posts