Mahkamah dan Jenayah

Ibu model Belanda menang saman RM1.1 juta, mahkamah putuskan polis cuai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi berjumlah RM1.1 juta kepada ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit yang ditemukan maut di tingkat enam di sebuah kondominium lapan tahun lalu.

Hakim Roz Mawar Rozain membuat perintah itu selepas membenarkan saman dikemukakan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, selepas mendapati terdapat kecuaian oleh pihak polis dalam mengendalikan siasatan kematian anak perempuannya pada 2017.

Roz Mawar juga memutuskan terdapat pelanggaran tanggungjawab penjagaan oleh pihak berkuasa, termasuk kegagalan dalam pengurusan tempat kejadian jenayah, pemeliharaan bukti dan prosedur forensik.

Tuntutan saman itu difailkan Verstappen yang menamakan Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri; dan kerajaan Malaysia dengan mendakwa mereka melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya

Dalam penyataan tuntutan, Verstappen berkata, anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam Cap Square Residence di sini pada 7 Disember 2017, selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Roz Mawar dalam penghakimannya, mengisytiharkan bahawa defendan telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2019.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner yang memutuskan kes itu sebagai ‘insiden malang’ dan menggantikannya dengan ‘kematian yang disebabkan seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali’.

Sequerah kemudian memerintahkan Peguam Negara mengarahkan polis memulakan siasatan

Sementara itu, Roz Mawar dalam keputusan hari ini, memerintahkan kerajaan dan tiga defendan lain membayar ganti rugi am berjumlah RM500,000, ganti rugi teruk (RM300,000) dan ganti rugi teladan (RM300,000) kepada Verstappen serta kos berjumlah RM100,000.

Beliau juga membenarkan permohonan Verstappen untuk mendapatkan perintah supaya Ketua Polis Negara mengeluarkan Faizal daripada Pasukan Petugas bagi menyiasat punca kematian mangsa.

Mahkamah juga memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan semula siasatan mengikut perintah Mahkamah Tinggi pada 2019 yang memutuskan kematian Ivana disebabkan seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali’ dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan polis memulakan siasatan.

Roz Mawar turut mengarahkan PDRM untuk memberikan taklimat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan dari tarikh penghakiman itu mengenai perkembangan siasatan dan dikehendaki membuat keputusan mengenai bukti mencukupi dan langkah seterusnya.

Menurut Verstappen dalam pernyataan tuntutan beliau , defendan membuka kertas siasatan mengikut laporan kematian mengejut pada 7 Disember 2017 dan menutup kes itu, selepas merumuskann sebagai mati mengejut atau bunuh diri.

Plaintif berkata, beliau tidak boleh menerima rumusan itu kerana perkara berkenaan amat sukar dipercayai dan terkejut dengan tindakan defendan yang hanya membuka kertas siasatan mengikut laporan kematian mengejut.

Susulan itu, Verstappen mendakwa tindakan defendan ialah perlanggaran jelas prosedur operasi standard (SOP) dan amalan terbaik dalam siasatan polis.

Beliau berkata, AGC kemudian mengarahkan satu inkues diadakan bagi menentukan punca kematian anaknya dan pada 8 Mac 2019, Koroner Mahyon Talib memutuskan kes itu sebagai satu ‘insiden malang’.

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, Verstappen mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 November 2019, Hakim Sequerah mengetepikan keputusan berkenaan.

Beliau mendakwa, defendan gagal atau cuai dalam menjalankan kewajipan statutori mereka secara sengaja atau sebaliknya dan melanggar kewajipan statutori mereka terhadap mangsa serta plaintif.

Verstappen mendakwa, polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barang peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy. – Berita Harian

Related Posts