KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan dakwaan tular berhubung sepasang bayi kembar yang kononnya dirawat selama sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis.
Dalam kenyataan pada Sabtu, JKNP menjelaskan semakan rekod mendapati tiada sebarang kes bayi kembar dirawat di wad kanak-kanak hospital berkenaan seperti yang didakwa.
Turut dinafikan ialah kewujudan individu bernama DrAmalina Husna yang dikatakan bertugas sebagai doktor di hospital tersebut, yang disahkan tidak pernah berdaftar atau berkhidmat di situ.
“Kita memandang serius berhubung laporan kes tular di media sosial yang bertajuk “Sepasang Bayi Kembar Hilang Dilarikan oleh ‘Doktor Palsu’ di Hospital Kuala Lipis.
“Siasatan awal telah dilaksanakan dan mendapati tiada bayi kembar seperti yang didakwa telah menerima rawatan selama 9 bulan di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lipis.
“Kali terakhir ibu berkenaan menerima rawatan di Hospital Lipis adalah pada Julai 2024,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
JKNP menjelaskan laporan polis telah dibuat oleh pihak pengurusan tertinggi Hospital Kuala Lipis bagi mengelakkan sebarang berita yang tidak berasas disebarkan sewenang-wenangnya.
Katanya, tindakan terbabit juga boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti pengurusan dan perawatan di Hospital Kuala Lipis dan JKNP khususnya.
“Jadi, kita ingatkan orang ramai agar berhati hati dalam penyebaran maklumat jika tidak pasti kesahihannya,” katanya.
Pada Sabtu, tular di media sosial laporan media berhubung hantaran yang mendakwa seorang wanita mendakwa sepasang bayi kembarnya yang dirawat di hospital berkenaan tidak ditemui dipercayai diculik Pegawai Perubatan di hospital tersebut. – Sinar Harian