Mahkamah dan Jenayah

Sanggup bakar wang RM1 juta dalam tandas untuk hapus bukti

KUALA LUMPUR: Pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terbabit rasuah berhubung perolehan tender projek pembinaan pusat data sanggup bertindak membakar wang tunai hampir RM1 juta akibat terkejut dengan serbuan dijalankan Suruhanjaya ini.

Menurut sumber, ketika serbuan dijalankan di rumahnya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor Khamis lalu, pasukan pegawai SPRM menemui wang kertas RM100 yang keseluruhannya berjumlah hampir RM1 juta dalam keadaan sudah terbakar

Katanya, suspek dipercayai bertindak nekad mengambil beberapa bungkusan wang tunai dan cuba melupuskannya dengan membakarnya selepas melihat kehadiran sepasukan pegawai SPRM.

“Selepas pintu rumah berjaya dibuka, pasukan SPRM yang membuat serbuan mendapati keadaan dalam rumah berkenaan dipenuhi asap tebal berpunca dari sebuah bilik mandi.

“Hasil pemeriksaan dijalankan di bilik mandi berkenaan, SPRM menemui wang kertas RM100 berjumlah RM 1 juta yang sudah terbakar,” katanya.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan menyeluruh di rumah suspek, SPRM kemudian menemui wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disimpan di dalam beberapa kotak bantal, tiga utas jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier selain barang kemas seperti cincin serta syiling emas.

Katanya, kesemua barangan berkenaan kemudian disita SPRM bagi tujuan siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan mengenai tindakan suspek yang membakar wang kertas berkenaan dan menegaskan bahawa tindakan suspek cuba melupuskan bahan-bahan bukti adalah satu kesalahan serius yang boleh didakwa di bawah seksyen 201 Kanun Keseksaan serta membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Bagaimanapun beliau berkata, fokus utama siasatan kes ini adalah di bawah seksyen 16 dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009. – Metro

Related Posts