KOTA BAHRU: Memeras ugut untuk mendapatkan wang dan meminta mangsa menyerahkan 30 kilogram (kg) emas dipercayai menjadi punca kepada kes penculikan seorang pemilik kedai emas di Palekbang, dekat Tumpat, pada 20 Mei lalu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebelum diculik, kumpulan berkenaan iaitu empat lelaki disyaki meminta 30 kg emas daripada mangsa
Katanya, mangsa tidak memberikan emas yang diminta sebelum diculik oleh kumpulan berkenaan, dalam usaha mereka untuk mendapatkan wang.
“Kumpulan itu dipercayai culik mangsa untuk meminta wang, namun wang berkenaan tidak sempat diserahkan berikutan mereka membebaskan mangsa pada hari sama.
“Ini berikutan, pihak polis terus melakukan operasi besar-besaran termasuk sekatan jalan raya di seluruh negeri dan berdekatan sempadan negara untuk memburu mereka.
“Kemungkinan mereka mendengar dan tahu pihak polis melakukan operasi sebelum mereka membebaskan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengenali suspek selepas disyaki kumpulan itu meminta emas sebanyak 30kg daripada mangsa.
Menurutnya, pihak polis berusaha untuk menjejaki dan mengesan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes penculikan terbabit.
Terdahulu media melaporkan, Polis Kontinjen Kelantan sedang mengesan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes penculikan seorang pemilik kedai emas lelaki berusia 44 tahun di Palekbang di sini, pada 20 Mei lalu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kesemua suspek dipercayai masih bersembunyi di dalam negeri dan usaha memburu mereka dipertingkatkan.
Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, suspek menggunakan sebuah Suzuki Swift dalam penculikan itu.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 kerana menculik dengan niat untuk mengurung seseorang secara salah dan sulit iaitu satu kesalahan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya. – Metro