KUALA TERENGGANU: Dua lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini kerana mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin, 23 April lalu.
Tertuduh, Nik Khairil Shahruzie Nik Rozlan, 32, dan Muhamad Reduan Meor Hussin, 38, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiquddin Zulkifli.
Nik Khairil Shahruzie berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala Muhamad Reduan berdepan tiga pertuduhan di bawah akta sama.
Mengikut pertuduhan satu dan dua, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine yang dianggarkan seberat 480.380 kilogram (kg) dan heroin 109.890kg di kawasan tebing Sungai Setiu, Setiu, jam 9 malam pada 23 April lalu.
Muhamad Reduan turut didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan seberat 1.02 kg di tepi Pulau Tok Bilal di Setiu, jam 10 malam pada 23 April lalu.
Mereka yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu boleh dihukum dibawa Seksyen 39 B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan sebelum mahkamah menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Setiu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar.
Nik Khairil Shahruzie diwakili peguam, Anasuha Atiqah Mat Saidi dan Mohd Izzat Hasizan manakala Muhamad Reduan diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syameer Haziq Shaharuddin.
Media sebelum ini melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran antarabangsa terbesar apabila merampas dadah seberat 590.18kg bernilai lebih RM25 juta di dua lokasi berasingan di daerah Setiu. – Berita Harian