KUALA TERENGGANU: Buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengaibkan kehormatan wanita dan melakukan pencerobohan di sebuah inap desa bulan lalu.
Tertuduh, Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan terhadap seorang usahawan berusia 36 tahun dengan mengintai wanita itu mandi di sebuah inap desa, di Jalan Banggol Peradong, Kampung Jeram Manir di sini, jam 12.30 pagi pada 26 Ogos lalu.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan berada dalam kawasan yang digunakan sebagai tempat tinggal di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Bagai kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM6,000 bagi dua pertuduhan dan kes disebut semula pada 5 Oktober depan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam daripada Biro Bantuan Guaman Kebangsaan (BBGK) Azlina Jaafar.
Media sebelum ini, melaporkan hajat seorang peniaga wanita bercuti dan membuat penggambaran baju Melayu di sebuah inap desa di daerah ini tergendala apabila wanita itu mendakwa diintai ketika berada di dalam bilik mandi.
Mangsa dari Ampang, Kuala Lumpur, mendakwa dia ternampak tangan seseorang sedang memegang telefon bimbit di tingkap bilik mandi sebelum menjerit memanggil suaminya.
Sementara itu di mahkamah berasingan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan dadah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyalahguna dan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badan.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menjatuhkan hukuman enam bulan penjara ke atas tertuduh manakala kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Manakala tertuduh diwakili peguam dari BBGK Nur Jawahir Muhd Zulmajdi. – Berita Harian