Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang pegawai keselamatan swasta menjadi mangsa terbaharu apabila
kerugian lebih RM300,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan melalui telefon atau ‘phone scam’ yang menyamar sebagai seorang pegawai polis, sejak Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli, berkata, lelaki yang berusia 40 tahun itu mendakwa dihubungi oleh seorang individu yang mendakwa mangsa menjual produk kecantikan di sebuah platform e-dagang tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Menurut mangsa, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang individu yang memperkenalkan dirinya seorang pegawai polis dan polis itu mendakwa mangsa terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta penggubahan wang haram.
“Mangsa kemediannya telah membuat pindahan wang sebanyak 15 kali transaksi ke sembilan akaun berbeza bermula 29 Disember tahun lepas sehingga 24 Februari lalu hingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian keseluruhan kira-kira RM303,750,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd. Rozi berkata, mangsa menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan-rakannya serta pinjaman peribadi bank untuk membuat transaksi itu.
“Mangsa yang menyedari dia tertipu dengan ‘phone scam’ itu kemudiannya tampil membuat laporan polis kira-kira pukul 12.57 tengah hari kelmarin.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – Suara Timur