KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga mengalami kerugian hampir RM932,300 setelah ditipu tender membekal alat jana kuasa iaitu solar kepada University College TATI (UC TATI) Kemaman pada Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, peniaga berumur 52 tahun dari Pasir Panjang di sini telah menerima WhatsApp daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri nama Halim wakil dari UC TATI pada 28 Mei lalu.
Menurutnya, lelaki itu telah menawarkan kepada peniaga tersebut tender tertutup projek membekal dan menghantar alat jana kuasa mudah alih jenis Eco Flow kepada UC TATI
Katanya, peniagan berkenaan telah berminat dan menghantar maklumat berkenaan Syarikat pengadu.
“Pengadu telah diarahkan untuk membuat pembayaran deposit ke dua akaun bank iaitu Bank Maybank no akaun 55125098780 atas nama LZ Wear Enterprise dan Bank Maybank no akaun 561136542833 atas nama DK Mart.
“Pengadu telah melakukan sebanyak lapan kali pindahan wang ke atas akaun bank tersebut dan disyaki telah ditipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli memberitahu, peniaga itu telah membuat semakan dengan pihak UC TATI dan pihak tersebut menafikan perkara tersebut dan pengadu merasakan dirinya telah ditipu sehingga memgalami kerugian sebanyak RM 932,300.
Tambahnya, mangsa telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 11.53, semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – Suara Timur