KUALA LUMPUR: Suami isteri dikenakan hukuman denda dan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuan mereka menggunakan kulit durian, minggu lalu.
Ibu mangsa, Yorlini Abdullah Umar, 32, dan suaminya Bunyamin Sukiman, 42, yang juga bapa tiri kanak-kanak itu masing-masing dijatuhkan hukuman berbeza oleh Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh selepas membuat pengakuan bersalah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mendera mangsa berusia lapan tahun sehingga menyebabkan kecederaan pada badan kanak-kanak itu.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kediaman di Jalan Ampang, di sini, jam 6 petang pada 16 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kejadian disedari selepas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) sekolah mangsa belajar ketika memanggil kanak-kanak itu berhubung aduan kononnya pelajar itu memotong tudung pelajar lain.
Sewaktu siasatan oleh pihak sekolah mendapati mangsa tidak terbabit dengan kejadian potong tudung itu.
Bagaimanapun, ketika disoal, dia mendedahkan dirinya dipukul dan telinganya dipulas oleh ibu bapanya serta ditumbuk bapa tirinya.
Selain itu, mangsa memberitahu tangannya diletakkan di atas lantai sebelum kulit durian dijatuhkan ke atas tangannya. Tangannya yang terluka kemudian direndam ke dalam air garam suam.
Malah, tangan kanak-kanak itu turut diikat menggunakan pita pelekat dan dibiarkan sehingga keesokan harinya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur memohon hukuman berat dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan mangsa adalah kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi.
“Perbuatan mengambil kulit durian lalu menghempapnya ke tangan mangsa, kemudian merendam tangan yang luka ke dalam air garam suam adalah tindakan ekstrem dan amat zalim.
“Ibu bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak, bukan tempat untuk melepaskan geram. Hukuman berat perlu dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, peguam Simret Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman minimum atas alasan Yorlini tidak bekerja dan hanya bergantung kepada Bunyamin yang bekerja sebagai penasihat jualan kenderaan dan penyumbang nafkah tunggal keluarga.
Menurutnya, pasangan terbabit yang mempunyai dua anak termasuk mangsa sudah ditahan reman selama tujuh hari dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
“Sepanjang tempoh reman, kedua-dua tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya.
Selepas meneliti hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM18,000 terhadap Yorlini dan jika ia gagal dibayar, tertuduh boleh dipenjara selama tiga bulan.
Bapa tiri mangsa pula dihukum penjara lima tahun bermula dari tarikh tangkap pada 18 Julai lalu.
Selain itu, kedua-dua tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun tanpa cagaran serta menjalankan khidmat masyarakat selama 12 bulan. – Berita Harian