Oleh MUKHATAR A RAHMAN
DUNGUN: Seramai 196 penagih dadah termasuk tiga wanita ditahan dalam Operasi Perdana Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Terengganu bermula Rabu lepas hingga hari ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan, Mahadzir Elias berkata operasi berkenaan dilaksanakan di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.
Katanya, dua penjawat awam turut ditahan dalam operasi itu yang memberi tumpuan di beberapa sarang penagihan bagi membenteras kegiatan penagihan dadah.

“Salah satu lokasi yang diserbu di daerah Dungun dikenali sebagai ‘Port Pekat Bayu’ yang menjadi tempat transit utama bagi aktiviti penjualan dan penagihan dadah.
“Seramai 35 penagih yang berada dalam keadaan khayal berjaya ditahan di port berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan dalam satu sidang media selepas mengetuai Operasi Perdana AADK Terengganu yang turut dihadiri Pengarah AADK Terengganu, Arzmi Abdullah.
Mahadzir berkata, kesemua penagih dadah yang ditahan dalam operasi itu berusia antara 19 tahun hingga 66 tahun dan ujian urin mendapati 159 individu positif dadah jenis methamphetamine, ketum (34 orang), ganja (dua orang) dan heroin (seorang).
Selain itu, katanya, lima anggota AADK berdepan detik cemas selepas seorang penagih dadah berusia 34 bertindak mengacukan sebilah pisau ketika melakukan serbuan di sebuah rumah.
“Bagaimanapun lelaki berkenaan yang berada di bawah pengaruh dadah berjaya ditahan selepas menyerah diri kira-kira 10 minit kemudian dan tiada kecederaan dilaporkan,” ujarnya. – Suara Timur
