SHAH ALAM: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah ‘ibu’ heroin apabila menahan tiga individu dan merampas dadah bernilai RM4.13 juta dalam serbuan di sekitar Subang Jaya, Seri Kembangan dan Permatang Pauh di Pulau Pinang Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan antara jam 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang itu, menahan tiga suspek lelaki termasuk dalangnya yang berusia 47 hingga 55 tahun.
Menurutnya, serbuan berjaya merampas hampir 50 kilogram termasuk heroin base dianggarkan bernilai RM4.13 juta.
“Siasatan mendapati sindiket ini adalah pengedar besar dengan mengambil dadah terus dari negara jiran sebelum dihantar ke Lembah Klang.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kondominium atau apartmen sebagai lokasi transit bagi penyimpanan bekalan dadah sebelum dihantar kepada pelanggan.
“Selain itu, sindiket ini turut mengubah suai kenderaan dengan memasang ruang khas bagi menyembunyikan dadah yang dibawa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa semasa melalui sekatan jalan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Hussein berkata, dua individu yang ditahan di sekitar Selangor adalah transporter bagi sindiket ini dengan upah RM5,000 bagi satu perjalanan.
“Polis percaya pengedaran dadah dari Pulau Pinang itu menggunakan satu atau dua transporter,” ujarnya. – Metro