KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang menumbuk bapa tirinya menerima balasan apabila dijatuhi hukuman penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Perbuatan tersebut di sebuah rumah di sini pada 27 Januari lalu.
Hukuman itu diputuskan oleh Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak selepas tertuduh, Ahmad Najmi Mohd., 26, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas mangsa yang berusia 59 tahun dengan menumbuk di kepala.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di daerah ini, pukul 1.30 petang pada 27 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 29 Januari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus. – Suara Timur