KUANTAN: Polis menahan enam lelaki semalam, susulan kematian rakan mereka berusia 62 tahun akibat terkena tembakan senapang buatan sendiri ketika melakukan aktiviti pemburuan di kawasan hutan Tebu Hitam, Rompin, kelmarin.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mereka yang ditahan itu berusia antara 35 dan 67 tahun.
Katanya, lima laras senapang patah buatan sendiri dan satu laras senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino bersama 25 butir peluru penabur turut dirampas untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000,” katanya dalam kenyataan.
Yahaya berkata, berdasarkan laporan, seorang lelaki berusia 54 tahun membuat laporan polis berkaitan kematian seorang lelaki selepas senapang patah buatan sendiri meletup.
Katanya, peluru itu terkena jari kelingking tangan kanan mangsa sebelum mengenai sisi dada sebelah kanan ketika keluar memburu bersama enam rakan di kawasan hutan Tebu Hitam, Rompin.
“Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam, mendapati punca kematian disebabkan ‘cedera akibat tembakan di dada’ dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Hasil siasatan lanjut, enam lelaki ditahan dan lima laras senapang patah buatan sendiri, satu laras senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino serta 25 butir peluru penabur dirampas kerana terbabit dengan aktiviti pemburuan haram,” katanya.
Yahaya berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang memiliki sebarang senjata api buatan sendiri atau pemilikan tanpa lesen sah.
“Susulan itu, individu yang memiliki senjata api buatan sendiri atau tanpa lesen sah perlu segera menyerahkan kepada polis sebelum tindakan tegas diambil,” katanya. – Berita Harian