PUTRAJAYA: Perdana Menteri menzahirkan kebimbangan terhadap penglibatan anak-anak Melayu dalam penyalahgunaan dadah dan rokok elektronik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu tersebut memerlukan perhatian serius serta penyelesaian yang tuntas kerana ia melibatkan masa depan generasi muda.
“Kita lihat orang Melayu ini dadahnya berat.
“Tadi dalam mesyuarat Jemaah Menteri kita bincangkan masalah dadah dan rokok elektronik dalam kalangan anak-anak kita.
“Tolonglah bincang, carilah jalan, kaedah mana pun. Apakah perlu dana, kaunseling, atau dakwah, beritahulah kerana berpuluh tahun kita fikir, tetapi belum selesai,” katanya.
Menurut beliau, meskipun terdapat penglibatan anak-anak daripada kaum lain, masalah dalam kalangan anak Melayu jauh lebih membimbangkan.
“Betul, ada anak Cina, anak India juga ramai dalam kalangan mereka, tetapi lebih parah anak Melayu. Ia membunuh jiwa mereka sejak kecil.
“Kenalah lakukan sesuatu, kena bincang,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Seminar Malaysia Madani: Guru Pemangkin Patriotisme Negara di sini pada Rabu.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, platform dalam talian yang membenarkan penjualan produk terlarang termasuk dadah yang dicampur dalam cecair rokok elektronik akan dikenakan tindakan tegas.
Ujar beliau, tindakan yang sama juga akan diambil terhadap individu yang terlibat dan satu mesyuarat bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan aspek penguatkuasaan.
Sementara itu, dalam ucapan yang sama, Anwar mengakui masih banyak perkara yang belum dapat diselesaikannya, namun pelbagai usaha sedang dilaksanakan untuk menanganinya.
“Saya tahu saya belum dapat selesaikan masalah kemiskinan rakyat, menaikkan mutu pendidikan, belum lagi berhasil mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang cemerlang, dan belum dapat mengembangkan dakwah Islam serta kesedaran Islam dalam kalangan pelajar.
“Sebab itu di sekolah-sekolah, selain daripada pengenalan buku mengenai cara dakwah yang bijaksana, jangan terlalu keras, jangan terlalu menghukum, jangan terlalu cepat menghina orang, dan jangan terlalu cepat mengkafirkan orang – itu yang kita mulakan,” katanya. – Sinar Harian