Mahkamah dan Jenayah

Tiga anggota FRU masih tidak sedar diri

TELUK INTAN: Tiga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang dirawat di Hospital Teluk Intan, dekat sini masih dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, anggota terbabit ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39.

“Ketika ini, ketiga-tiga pegawai masih kritikal dan tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Pihak polis bersama wakil kebajikan sudah melawat mereka dan keluarga hari ini bagi memberikan sokongan moral,” katanya hari ini.

Menurutnya, empat lagi anggota yang cedera dilaporkan sedar dan dalam keadaan stabil, menerima rawatan di wad biasa Hospital Teluk Intan.

Mereka ialah Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zullkifli, 34; Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26; Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin dan Sarjan Mohd Parih Ali, 44.

Sementara seorang daripada sembilan anggota FRU yang cedera dalam kemalangan jalan raya semalam dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk menjalani pembedahan akibat kecederaan dalaman.

Beliau berkata, mangsa, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, yang duduk di bahagian belakang lori, mengalami pendarahan dalaman yang serius, trauma perut dan kecederaan kepala.

Semalam, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di KM15 Jalan Chikus–Sungai Lampam di sini.

Lapan anggota disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, dan seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. – Harian Metro

Related Posts