KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga mengalami kerugian RM500,639.50 setelah ditipu tawaran kerja secara dalam talian pada Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner, Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 38 tahun itu merupakan perniaga buah-buahan dan barangan runcit di pasar borong serta peniaga lembu mendakwa menerima mesej daripada kenalan di Facebook bernama Nabila Puteri pada 14 Mei lalu.
Menurutnya, Nabila Puteri menawarkan kepada peniaga itu kerja sambilan yang dapat menjana pendapatan lumayan.
Katanya, mangsa berminat dengan iklan tersebut dan telah diterangkan oleh Nabila Puteri mengenai kerja yang perlu dilakukan iaitu membuat pembelian pelbagai barangan melalui aplikasi lazada yang dimuat naik melalui link yang diberikan.
“Setelah bersetuju, pengadu telah diberikan satu link untuk memuat naik aplikasi lazada seperti yang diarahkan. Kemudian pengadu telah menerima arahan dari khidmat pelanggan untuk melaksanakan tugasan yang diberikan.
“Pada mulanya pengadu membuat kerja yang diarahkan, pengadu berjaya menerima pulangan seperti yang dijanjikan.
“Walaubagaimanapun untuk tugasan yang seterusnya, pengadu tidak menerima keuntungan yang dijanjikan yang mana pengadu diarahkan menyelesaikan beberapa tugasan diberikan terdahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, mangsa merasa curiga dan syaki dirinya telah ditipu sehingga mengalami kerugian sebanyak RM500,639.50.
Jelasnya salam urusan tersebut, peniaga itu telah membuat 38 transaksi ke 22 akaun yang berbeza.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – Suara Timur