Mahkamah dan Jenayah

Pondan didenda RM4,900 dorong perbuatan maksiat melalui MiChat

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki berperwatakan wanita didenda RM4,900 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah menggalakkan perlakuan maksiat menerusi aplikasi sosial tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Haikal Izzuwan Adun, 20, dari Kelantan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah, Kamalruazmi Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan mendorong dan menggalakkan perlakuan maksiat melalui aplikasi MiChat pada jam 10 malam, 1 Oktober 2024 di sebuah rumah inap di Kerteh, Kemaman.

Serbuan ke atas premis terbabit turut menemui 13 barang kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Tertuduh (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, hari ini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana menganjur, mendorong atau menggalakkan perbuatan maksiat.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwa Syarie.

Dalam rayuannya, Mohammad Haikal memohon hukuman diringankan kerana menanggung nenek yang sakit selain menyatakan kekesalannya atas perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Katanya, dia hanya belajar sehingga Tingkatan Empat dan dibesarkan oleh nenek selepas ditinggalkan kedua ibu bapanya sejak kecil.

Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh sebelum ini telah berjaya ditangkap oleh penguat kuasa agama pada 20 Julai lalu kerana gagal hadir ke mahkamah dan dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 21 Julai (Isnin) sebelum dibebaskan dengan jaminan RM2,000 dan seorang penjamin.

Tertuduh juga telah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman mengikut Seksyen 33 kerana berlagak seperti perempuan dan dihukum pada Selasa dengan denda RM2,500 atau empat bulan penjara.

Mahkamah kemudian memutuskan hukuman denda RM4,900 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda dan menetapkan bayaran dibuat sebelum jam 4 petang pada hari sama.

Dalam penghakimannya, Kamalruazmi menegaskan bahawa kesalahan dilakukan tertuduh memberi kesan besar kepada masyarakat dan memalukan negeri asalnya yang ketika ini tular kerana dikaitkan dengan serbuan ke atas ‘pesta LGBT’.

“Kita dijadikan sebagai lelaki, perlu reda. Kita ada mati, ada syurga dan neraka. Mahkamah beri pengajaran agar tidak mengulangi perbuatan yang memberi persepsi tidak baik kepada negeri Kelantan,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts