KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu sentiasa memantau pembabitan pempengaruh dan peniaga kosmetik yang berselindung di sebalik perniagaan sah untuk melakukan aktiviti berkaitan dadah.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, setakat ini di Terengganu, hanya ada seorang peniaga kosmetik ditahan iaitu ‘Man Hidung’.
“Jangan ingat polis tidak pantau, kita akan pantau apa yang mereka lakukan namun setakat ini hanya satu kes saja di negeri ini membabitkan usahawan kosmetik yang terbabit dalam kegiatan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu, di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai majlis penyerahan kes narkotik, beliau berkata, sejumlah dadah bernilai RM1.1 juta yang selesai melalui proses perundangan di tujuh daerah di negeri ini dilupuskan hari ini.
Menurutnya, dadah seberat 56,232.43 gram (g) bersama 2,572.54 liter dalam bentuk cecair itu dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan.
Katanya, dadah berkenaan membabitkan 2,999 kertas siasatan di seluruh daerah di negeri ini yang selesai melalui proses perundangan.
Beliau berkata, dadah yang dilupuskan itu dari 2001 hingga 2025 dan sudah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan dan membabitkan kes tangkapan yang mana suspek dijatuhkan hukuman.
“Antara dadah yang dikategori untuk dilupuskan iaitu pil wy/pil kuda/yaba (methamphetamine), syabu, heroin, ganja, ubat batuk, daun dan air ketum, Eramin 5 dan psikotropik,” katanya.
Mengulas mengenai rampasan sehingga 20 Julai lalu, beliau berkata, dadah bernilai RM62,971,698 dirampas berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM1,315,720.
Menurutnya, bagi tangkapan pula, seramai 7,832 orang ditahan berbanding tahun lalu iaitu 7,239 orang sekali gus menunjukkan peningkatan 593 orang. – Harian Metro