Mahkamah dan Jenayah

Tujuh warga Indonesia ditahan ceroboh pelantar minyak

KUALA TERENGGANU: Tujuh warganegara Indonesia ditahan selepas menceroboh dan mencuri di sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni di perairan Terengganu, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abdul Majid berkata, kesemua suspek itu dipercayai cuba mencuri barangan seperti kabel, bateri dan panel solar di pelantar milik sebuah syarikat cari gali minyak tempatan.

Menurutnya, Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu telah menerima maklumat daripada syarikat cari gali minyak terlibat mengenai pencerobohan pelantar tersebut yang terletak di kedudukan 77 batu nautika dari sini pada 1.30 petang, kelmarin.

Katanya, bertindak atas aduan, sebuah kapal Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Op Iman telah digerakkan ke lokasi dan tiba di lokasi di pelantar minyak itu pada pukul 9 malam dan anggota berjaya menaiki pelantar itu pada pukul 11.30 pagi semalam berikutan keadaan gelap dan laut bergelora.

“Hasil pemeriksaan di atas pelantar minyak oleh anggota Maritim Malaysia menemukan kesan kabel yang telah dipotong, longgakkan bateri dan peralatan yang digunakan seperti pemotong kabel, set spanar serta tali.

“Penggeledahan lanjut berjaya menemukan tujuh warganegara Indonesia berusia 25 hingga 45 tahun bersembunyi di ruang ventilasi pelantar minyak tersebut,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd. Khairulanuar memberitahu, hasil siasatan mendapati kesemua suspek dihantar ke pelantar tersebut menggunakan sebuah bot, namun bot tersebut melarikan diri setelah melihat kehadiran kapal yang membawa kru operasi itu.

Menurutnya, nilai keseluruhan kerugian akibat pencerobohan di pelantar itu masih dalam siasatan.

“Apa yang membimbangkan kita adalah tindakan mereka itu boleh menyebabkan operasi pelantar minyak terhenti sekiranya mereka mencuri barang-barang penting sehingga boleh mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit selain nyawa mereka,” ujarnya.

Tambahnya, penahanan tujuh suspek tersebut dapat menyelesaikan empat laporan kecurian di pelantar minyak tidak berpenghuni yang dilaporkan sejak Januari lalu.

Jelasnya, kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan. – Utusan

Related Posts